Khamis, 24 November 2016

1.1 KONSEP KEKURANGAN, PILIHAN DAN KOS LEPAS

1.1.1 Definisi / Maksud / Takrif Ekonomi

A) Ilmu ekonomi ialah satu bidang sains sosial yang mengkaji bagaimana manusia menggunakan sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad.

B) Sumber Ekonomi / Faktor Pengeluaran yang Terhad

Buruh
Ø Sumber manusia yang menyumbangkan tenaga fizikal atau mental dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan.
Ø Ganjarannya ialah upah.

Tanah
Ø Sumber alam yang penawarannya terhad digunakan sebagai bahan mentah dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan.
Ø Ganjarannya ialah sewa.

Modal
Ø Alat ciptaan manusia yang digunakan dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan.
Ø Ganjarannya ialah faedah.

Usahawan
Ø Individu yang menggabungkan lain-lain faktor-faktor pengeluaran untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan.
Ø Ganjarannya ialah untung tetapi menanggung risiko.


1.1.2 Masalah Ekonomi (Kekurangan, Pilihan, Kos Lepas)

A) Unit Ekonomi

Isi Rumah
Ø Individu atau sekumpulan individu yang membuat keputusan kewangan bersama untuk mecapai matlamat kepuasan maksimum.
Ø Isi rumah merupakan pembekal faktor pengeluaran (buruh, tanah, modal dan usahawan) untuk mendapat ganjaran (upah, sewa, faedah dan untung) sebagai sumber pendapatan.
Ø Isi rumah merupakan pengguna barang dan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak untuk memaksimumkan kepuasan.

Firma
Ø Organisasi yang menggabungkan faktor-faktor pengeluaran untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan.
Ø Organisasi memilih keluaran yang dapat meminimumkan kos dan memaksimumkan keuntungan.

Kerajaan
Ø Pemerintah sesebuah negara yang mengawal aktiviti ekonomi isi rumah dan firma melalui dasar dan undang-undang.
Ø Kerajaan akan menyediakan barang dan perkhidmatan yang tidak disediakan oleh firma iaitu barang awam.
Ø Matlamat kerajaan adalah memaksimumkan kebajikan rakyat.


B) Konsep Masalah Ekonomi

Kekurangan
Ø Kesan daripada sumber ekonomi terhad tetapi kehendak tidak terhad maka kekurangan berlaku.

Pilihan
Ø Akibat kekurangan, unit ekonomi terpaksa membuat pilihan berdasarkan keutamaan dan matlamat mereka.

Kos Lepas
Ø Kos lepas ialah pilihan kedua terbaik yang terpaksa dilepaskan akibat pilihan ke atas pilihan terbaik.

C) Masalah Ekonomi Isi Rumah
Isi rumah kekurangan pendapatan untuk memenuhi kehendak barang dan perkhidmatan yang tidak terhad.
Isi rumah membuat pilihan barang dan perkhidmatan yang dapat memaksimumkan kepuasan.
Barang dan perkhidmatan kedua terbaik yang terpaksa dilepaskan ialah kos lepas isi rumah.

D) Masalah Ekonomi Firma
Firma kekurangan faktor pengeluaran memenuhi kehendak keluaran yang tidak terhad.
Firma membuat pilihan keluaran yang meminimumkan kos atau memaksimumkan untung.
Keluaran kedua terbaik yang terpaksa dilepaskan ialah kos lepas firma.

E) Masalah Ekonomi Kerajaan
Kerajaan kekurangan pendapatan negara untuk memenuhi kehendak projek pembangunan yang tidak terhad.
Kerajaan membuat pilihan projek pembangunan yang memaksimumkan kebajikan rakyat.
Projek pembangunan kedua terbaik yang terpaksa dilepaskan ialah kos lepas kerajaan.


1.1.3 Keluk Kemungkinan Pengeluaran (KKP)

A) Takrif KKP
KKP merupakan satu keluk yang menunjukkan had maksimum kombinasi-kombinasi dua barang yang boleh dikeluarkan dengan menggunakan semua sumber ekonomi yang sedia ada dengan cekap pada suatu tingkat teknologi yang tertentu.

B) Andaian KKP
Faktor pengeluaran digunakan secara maksimum / cekap / guna tenaga penuh.
Hanya dua barang sahaja dikeluarkan.
Tingkat teknologi adalah tetap.
Jumlah faktor pengeluaran adalah tetap dan tidak berubah.

C) Jadual dan Keluk Kemungkinan Pengeluaran
D) Pengiraan Kos Lepas

Pada titik A, semua faktor pengeluaran digunakan untuk mengeluarkan 21 unit Barang R, tiada faktor pengeluaran digunakan untuk mengeluarkan Barang Q (0 unit).
Pada titik F, semua faktor pengeluaran digunakan untuk mengeluarkan 5 unit Barang Q, tiada faktor pengeluaran digunakan untuk mengeluarkan Barang R (0 unit).
Pertukaran kombinasi A ke B dapat menambahkan keluaran Barang Q dari 0 unit ke 1 unit, kos lepas ialah 1 unit Barang R (21 unit - 20 unit).
Pertukaran kombinasi B ke C dapat menambahkan keluaran Barang Q dari 1 unit ke 2 unit, kos lepas ialah 2 unit Barang R (20 unit - 18 unit).
Pertukaran kombinasi C ke D dapat menambahkan keluaran Barang Q dari 2 unit ke 3 unit, kos lepas ialah 4 unit Barang R (18 unit - 14 unit).
Pertukaran kombinasi D ke E dapat menambahkan keluaran Barang Q dari 3 unit ke 4 unit, kos lepas ialah 6 unit Barang R (14 unit - 8 unit).
Pertukaran kombinasi E ke F dapat menambahkan keluaran Barang Q dari 4 unit ke 5 unit, kos lepas ialah 8 unit Barang R (8 unit - 0 unit).
KKP berbentuk cembung kerana kos lepas semakin meningkat.


E) Tafsiran KKP
Sebarang kombinasi barang yang wujud di bawah KKP menunjukkan pembaziran faktor pengeluaran berlaku iaitu berlakunya pengangguran dan ketidakcekapan.
Sebarang kombinasi barang yang wujud di luar KKP menunjukkan kekurangan, ekonomi mempunyai faktor pengeluaran yang terhad untuk mengeluarkan kombinasi barang tersebut.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan